Pages

Total Pageviews

05 September 2010

Aku Lebih Baik Daripada Kamu?

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani

Takabbur sebenarnya adalah hak mutlak dan eksklusif Allah swt . Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencabarNya . Orang takabbur pasti lebur . Mereka akan musnah di dunia dan akan terseksa di akhirat . Ini ditegaskan sendiri oleh-Nya melalui sebuah hadis kudsi ;

Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; "Allah berfirman ; 'Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu . Maka sesiapa bersaing dengan-Ku pada salah satu daripada kedua-duanya , maka pasti Ku lemparkan ia ke dalam jahannam ."' (Riwayat Abu Daud no. 4092 dan Ibn Majah no. 4147)

Jelas di sini , takabbur ialah ibu segala sifat mazmumah . Daripada sombong lahirnya marah , hasad , ujub , riyak , sum'ah , tamak , bakhil dan sebagainya .

Sejarah Takabbur

Kederhakaan pertama dalam kalangan makhluk terhadap Khalik ialah keengganan iblis mematuhi perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam as . Tidakkah ini disebabkan rasa takabbur ? Iblis yang merasakan dirinya lebih baik , tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam as hanya kerana dirinya diciptakan daripada api berbanding Nabi Adam as yang dicipta daripada tanah . Sindrom " ana khairun minhu " (aku lebih baik daripadanya) ini akhirnya turut menular menjangkiti manusia .

Alhasil , lahirlah Qabil , anak Nabi Adam as sendiri yang merasakan dirinya lebih baik dan berhak mengahwini saudara perempuannya yang lebih cacntik berbanding adiknya Habil . Lalu pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan pun berlaku . Qabil mengikuti jejak langkah iblis apabila lebih mementingkan kehendak nafsu berbanding hukum yang telah ditetapkan , sebagaimana ibli senggan mengiktiraf kelebihan ilmu yang ada pada diri Nabi Adam as . Begitu juga Qabil yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pengorbanan adiknya Habil lebih ikhlas berbanding dirinya .

Menerusi sifat takabbur yang diwarisi iblis meneruskan "legasinya" . Dia terus merekrut "protege"nya yang terdiri daripada syaitan dan manusia sepanjang zaman . Maka lahirlah Firaun , Haman , Qarun Namrud , Abu Lahab , Abu Jahal , Kamal Ataturk dan ramai lagi .

Golongan inilah yang banyak menentang kebenaran yang dibawa oleh para Rasul , ulama al-amilin dan mujahid-mujahid islam kerana merasakan fikiran , sistem kepercayaan , keturnan , harta dan diri lebih baik daripada kebenaran ajaran Allah . Apatah lagi ajaran itu hanyalah diseru oleh insan-insan yang pernah menjadi pegembala kambing , anak yatim , miskin dan ummi (tidak pandai menulis dan membaca) tetapi dipilih Allah untuk membawa misi kebenaran .

Daripada hembusan takabbur itulah juga lahirnya Zionis Yahudi yang merasakan mereka adalah 'God's Choosen People" - insan pilihan Tuhan untuk memerintah , menguasai dan memperkotak-katikkan bangsa-bangsa lain yang mereka anggap lebih hina . Apabila asabiyyah bangsa (Bani Israel) digaul dengan penyelewengan agama (agama Yahudi) lalu ditunjangi sifat takabbur maka lahirlah penindasan , keganasan dan penjarahan yang tiada batasan .

Definisi Takabbur

Takabbur sering menyerang individu yang mempunyai potensi . Lebih banyak potensi yang dimiliki oleh seseorang maka lebih terdedahlah dia kepada sifat takabbur . Semuanya gara-gara merasakan diri "lebih" dan orang lain "kurang" . Berasa diri mulia , orang lain hina . Rasulullah memberi definisi yang tepat dan padat tentang takabbur menerusi sabdanya yang bermaksud : "...sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk."(Riwayat Muslim no. 275)

Para ulama menjelaskan tiga ciri utama individu yang takabbur . Ciri-ciri itu adalah ;
  • Merasa diri lebih baik
  • Menghina orang lain
  • Menolak kebenaran
Ketiga-tiga sifat itu menyerang manusia dalam bentuk pakej . Ketiga-tiganya datang serentak . Ia saling berkait antara satu sama lain . Apabila merasakan diri lebih baik , mulia dan tinggi , seseorang itu akan cenderung memandang orang lain buruk , hina dan rendah . Apabila dua sifat itu mendominasi seseorang maka dia akan jadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri . Ketika itu dia akan menolak apa sahaja pandangan , saranan dan teguran daripada menghina orang lain walaupun benar .

Hendaklah kita dapat membezakan antara takabbur yang terkeji dengan harga diri yang terpuji . Orang yang mempunyai harga diri (izzah dan maruah) memandang dirinya tinggi kerana Islam , bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri . Individu yang mempunyai harga diri yang tinggi merasakan dirinya berkemampuan , berkeyakinan dan berhak untuk berjaya dalam hidup hasil keyakinannya kepada Allah .

Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi sangat menghargai orang lain . Mereka melihat dunia sebagai medan "perkongsian" untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan . Para rasul , nabi , siddiqin ,syuhada dan orang soleh adalah mereka yang mempunyai harga diri yang tinggi . Mereka sentiasa mendapat inspirasi daripada ayat al-Quran ini : "Jangan kamu bersa hina dan jangan kamu berasa gentar . Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman ." (Surah Ali'Imran 3:139)

Dan hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan islam . Yang berjuang menegakkan Islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya , manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburannya . Terdapat garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama .

Tanda Takabbur

  1. Tidak suka berdoa
  2. Mudah terluka dan melukakan hati orang lain
  3. Sukar memberi dan meminta maaf
  4. Memotong cakap orang lain
  5. Gila kuasa dan jawatan
  6. Cara berpakaian dan berjalan yang angkuh
  7. Gila pujian
  8. Bencana yang menimpa pesaingnya dianggap hasil kelebihan dirinya
  9. Tidak suka berziarah
Itulah definisi , ciri dan tanda-tanda takabbur . Sekiranya sifat takabbur sudah menjadi tabiat ia boleh dikesan secara menyeluruh dan holistik . Sifat takabbur itu akan terzahir (menurut Imam al-Ghazali) pada cara dia memalingkan muka , memandang dan mengerling , menundukkan kepala , duduk bersila atau bertekan ke lantai . Dan kelihatan juga pada perkataan , intonasi suara cara berjalan , berdiri , duduk , gerak dan tenangnya .

Malang sekali kalau kita memiliki sifat takabbur tetapi masih tidak menyedarinya kerana tidak mengenali ciri-cirinya . Akibatnya , ramai orang yang menganggap orang lain takabbur , bukan dirinya . Padahal dengan menganggap sedemikian , dialah yang sebenarnya telah memiliki ciri takabbur . Bukankah orang yang takabbur itu merasakan bahawa "ana khairun minhu" - aku lebih baik daripadanya?

Bersumberkan Majalah solusi Isu no. 21 , Melebur Takabbur

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...