Hazrat Salman r.a berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Sya'aban :
Wahai manusia ! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati . Satu bulan yang dalam bulan itu terdapat satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik daripada seribu bulan . Satu bulan yang Allah swt telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardu dan berdiri pada malam hari (bertarawih) sebagai satu amalan sunat .Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardu pada bulan itu adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan lain .
Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga . Bulan itu adalah bulan simpati , bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman . Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka , maka pemberiannya itu merupakan satu pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya . Para sahabat lalu berkata , Bukankah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa . Maka Rasulullah saw bersabda, Allah memberikan pahala itu kepada sesiapa sahaja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka .
Bulan itu adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat , pada pertengahannya merupakan keampunan dan pada akhirnya merupakan kelepasan daripada neraka . Sesiapa yang meringankan bebanan hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah swt dan akan dilepaskan daripada azab api neraka .
Perbanyakkanlah pada bulan ini
empat perkara . Dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu perlukan . Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada tuhan selain daripada Allah (Lailahaillallah)dan kamu memohon istighfar daripadaNya . Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan ialah memohon syurga daripada Allah swt dan meminta perlindungan daripada api neraka .
Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah swt akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat) , dengan sekali minum , dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk kedalam syurga .
Bersumberkan dari buku Fadhilat Amal bab Fadhilat Ramadhan ms 2-3 . .
No comments:
Post a Comment