Pages

Total Pageviews

Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

03 September 2010

Tazkirah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Pada kali ini , amalnyaimar.blogspot.com ingin memaparkan kisah para sahabat-sahabat ketika berhadapan dengan Allah swt iaitu ketika menunaikan solat . . Maklumlah , malam sepuluh terakhir Ramadhan ini kita disuruh untuk memperbanyakkan ibadat kita . . . Tapi , apa guna ibadat yang banyak tetapi tidak khusyuk , tidak mengabdikan diri sebenar-benarnya kepada Allah swt . .

Era globalisasi sekarang telah muncul pelbagai jenis masyarakat islam , ada yang hanya bergelar islam tetapi tidak menunaikan apa yang dipinta , ada juga golongan yang menunaikannya tetapi tidak begitu ikhlas iaitu melakukannya kerana itu kewajipan harian insan yang bergelar muslim dan tidak pula ingin memahami tentang perkara yang dilakukan itu dengan lebih mendalam . . . Islam tidak membunuh pertanyaan , lalu bertanyalah kamu untuk memahami agama ini , tetapi tanyalah pada orang yang berilmu . .dan akhirnya golongan yang ingin mempelajari islam , mempraktikkan islam malah semakin hari semakin ingin memahami islam itu . .

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.(Surah Al-Anfal , ayat 2 )


Diriwayatkan ,

  • Semasa Hazrat Hassan mengambil wuduk wajahnya menjadi pucat . Apabila ditanya sebab wajahnya menjadi pucat maka beliau menjawab , Telah datang masanya untuk saya mengadap Allah swt Raja Yang Maha Perkasa . Setelah berwuduk beliau menuju ke masjid dan apabila sampai ke pintu masjid beliau pun berdoa ;
Ya Allah , hambaMu ini berada di pintu Mu . Wahai Pemilik Sifat Yang baik , telah datang kepadamu hamba yang jahat ini . Engkau telah memerintahkan kepada mereka yang baik di kalangan kami supaya memberi maaf kepada orang yang membuat kejahatan . Ya Allah , Engkaulah Yang Maha Berbuat Baik dan akulah yang banyak melakukan kejahatan . Oleh itu , maafkanlah keburukan yang ada padaku dengan kebaikan yang ada padaMu , Wahai Yang Maha Mulia . Selepas itu barulah beliau masuk ke dalam masjid .
  • Hazrat Zainul Abidin rah. bersolah seribu rakaat setiap hari . Beliau tidak pernah meninggalkan solat tahajud , walaupun dalam perjalanan mahupun di rumah . Semasa beliau berwuduk , wajahnya berubah menjadi pucat dan badannya menggeletar tatkala berdiri mengerjakan solat . Seorang bertanya sebab berlakunya demikian . Dijawabnya , Tidakkah kamu tahu di hadapan siapakah saya berdiri ? Semasa beliau sedang bersolah , tiba-tiba rumahnya terbakar dan beliau tetap meneruskan solatnya . Apabila ditanya ramai mengenai kebakaran itu , beliau menjawab . Ingatanku terhadap api akhirat telah melupakan api dunia ini .
  • Hazrat Ali diriwayatkan bahawa apabilal tiba waktu solat wajahnya akan berubah dan badannya akan menggeletar . Apabila ditanya , beliau menjawab , Sudah sampai masanya untuk menunaikan amanah yang langit dan bumi pun tidak dapt memikul amanah tersebut . Gunung-ganang pun tidak mampu memikul amanah tersebut . Saya tidak tahu sama ada saya mampu menunaikan amanah tersebut atau tidak .
  • Seorang menceritakan , Aku menunaikan solat asar di belakang Hazrat Zunnun Misri rah. Apabila beliau menyebut Allah ketika bertakbir maka kehebatan kebesaran Allah menyelubungi dirinya sehingga jasadnya seolah-olah tiada roh lagi serta tidak sedarkan diri . Apabila lidahnya menyebut Akhbar maka hatiku remuk disebabkan kehebatan takbirnya .
  • Hazrat Uwais Qarni rah pula kadang-kadang akan menghabiskan sepanjang malam dalam rukuk dan kadang-kadang menghabiskan sepanjang malam dalam satu sujud sahaja .
  • Hazrat Isam rah bertanya kepada Hazrat Hatim Zahid Balkhi rah . Bagaimanakah tuan mengerjakan solat ? Beliau memberitahu , Apabila menjelangnya waktu solat aku akan berwuduk dengan sempurna dalam keadaan tenang , kemudian aku menuju ke tempat solat . Aku akan berdiri dengan penuh tenang sambil membayangkan Kaabah berada dihadapanku , titian sirat di bawah kakiku , syurga di kananku , neraka di kiriku , malaikat maut di atas kepalaku . Aku menganggap itulah solatku yang terakhir dan mungkin tidak berpeluang untuk menunaikan solat yang lain . Pada ketika itu , Allah swt sahajalah yang mengetahui keadaaan hatiku . Kemudian dengan perasaan rendah diri aku pun melafazkan Allahu akbar . Selepas itu aku membaca ayat al-Quran dengan menghayati makna-makna bacaan bacaan tersebut . Aku rukuk dengan penuh tawaduk dan sujud dengan perasaan penuh hina .
  • Kisah masyur mengenai Hazrat Ali ialah apabila badan beliau terkena anak panah dalam peperangan , biasanya anak panah itu akan dicabut keluar semasa beliau sedang bersolat . Suatu ketika satu anak panah telah tertusuk pada pahanya . Orang ramai cuba menariknya keluar tetapi tidak berjaya lalu mereka pun bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk mencabut anak panah tersebut dikeluarkan ketika beliau bersolat . Apabila beliau mengerjakan solat sunat dan ketika beliau sedang bersujud mereka menyentap anak panah itu sehingga tercabut . Setelah selesai bersolat beliau melihat ramai orang berada berhampirannya . Beliau berkata , Adakah kamu datang untuk untuk mencabut anak panah ? Mereka berkata , Kami telah pun mencabutnya . Kata Hazrat Ali , aku tidak sedar apa-apa pun .
Begitulah sedikit sebanyak kisah-kisah para sahabat ketika bersolat . . Persoalan yang timbul ,adakah kita dapat menahan dalam keadaan sujud sepanjang malam seperti Hazrat Uwais Qarni ? Adakah kita dapat menahan kesakitan panah dicabut ketika bersolat tanpa menyedari apa-apa pun seperti Hazrat Ali ?

Disini ana mengajak antum sekalian untuk kita muhasabah diri kita tentang solat yang kita lakukan . . Nilai diri kita adakah solat yang kita lakukan itu akan diterima oleh Allah swt . Allah berfirman ;

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. ( Surah Al-Ankabut , ayt 45 )

Sesungguhnya solat yang sempurna itu dapat mencegah diri kita dari melakukan perkara mungkar . . Jika kita masih melakukannya , kita kaji solat kita adakah terdapat kesilapan atau adakah kita tidak khusyuk di dalam melakukannya kerana solat itu tiang agama. .Runtuhnya agama itu kerana solatnya . .

Akhir kalam , hayatilah makna surah Al-mukminun ayat 1 hingga 11 . . Moga solat kita diterima oleh Allah swt . .Amin . .

[1]
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
[5]
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6]
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7]
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10]
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
[11]
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.


READ MORE- Tazkirah

28 August 2010

Perang Badar

Assalamualaikum wbt . .

Pada episod kali ini , amalnyaimar.blogspot.com membawakan sebuah paradigma baru kepada muslimin dan muslimat bahawa Bulan Ramadhan itu bukan sahaja bulan yang dipenuhi dengan ibadat semata-mata tetapi terselit juga beberapa peristiwa besar yang tertulis di dalam fakta sejarah islam . .Kali ini amalnyaimar.blogspot.com membawakan kisah ;

Perang Badar
Perang penentuan

Allah berfirman:

"Berperanglah dalam jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melanggar batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang melanggar batas. Bunuhlah mereka itu dimana saja kamu jumpai dan usirlah mereka itu sebagaimana mereka telah mengusir kamu. Tetapi ingat pula, bahawa fitnah adalah lebih berbahaya dari pembunuhan. Tetapi janganlah kamu berperang didalam Masjidil Haram (Kaabah), kecuali kalau diperanginya kamu disana."


Inilah perang pertama dan inilah perang bagi ujian keimanan dimana umat islam telah diwajibkan berpuasa pada bulan tersebut . Firman Allah :

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa . Surah al-Baqarah ayat 183

Perang ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masihi .

Diceritakan betapa begitu banyaknya kekurangan dan kesusahan yang terdapat pada tentera islam . . Tentera islam hanya seramai 305 orang daripada 313 yang mendaftarkan diri terdiri daripada kaum Ansar dan Muhajirin menentang 1300 orang tentera berkuda , 600 orang berbaju besi dan 200 orang pejalan kaki . . Walaupun bilangan tentera kafir quraisy berkurangan ke 1000 orang kerana tariknya diri tentera dari kalangan Bani Zuhrah , tetap menimbulkan perbezaan yang ketara dari segi bilangan . .Tentera islam hanya mempunyai dua ekor kuda dan 70 ekor unta dimana setiap unta dikongsi oleh 3 orang tentera islam . . Nabi Muhammad saw berkongsi dengan Ali bin Abi Talib dan Marthad bin Abi Marthad . Pabila Ali naik , Nabi dan Marthad berjalan dan begitulah seterusnya . . Tentera islam juga tidak mempunyai senjata yang mencukupi dan tiada persediaan yang mencukupi kerana ini kali pertama mereka berperang , mereka hanya bersenjatakan panah , pedang , pelepah kurma dan ada juga yang tidak bersenjata langsung menentang tentera kafir yang lengkap dengan senjata dan perisai mereka . .

Dinukilkan ,
Bergetarlah hati para sahabat apabila mengetahui akan keadaaan tersebut . . Keadaan menjadi sunyi dan sepi seketika . . Lalu berkata Abu Bakar as-Siddiq , Wahai Rasulullah , kami dengar dan taat akan perintah Allah dan RasulNya , sekiranya kami disuruh berperang , kami sanggup berperang denganmu . .
Umar al-Khattab berkata , Wahai Rasulullah , kita keluar ke jalan Allah bagi menegakkan syiar islam . Kami rela syahid dengan perjuangan ini . .
Kemudian bangun Al-Miqdad bin Amr lalu berkata , Wahai Rasulullah ,teruskanlah perjalanan seperti yang dikehendaki Allah dan kami tetap bersamamu . Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu seperti yang dikata oleh Bani Israel kepada Nabi Musa , Pergilah engkau bersama Tuhan engkau dan berperanglah engkau berdua . Tetapi kami tetap duduk di sini .
Kami berkata kepadamu wahai Rasulullah , Pergilah engkau dan Tuhan engkau berperang dan sesungguhnya kami ikut berperang bersamamu dan bersama Allah . .

Lalu Baginda bersabda , majulah kamu semua dan terimalah khabar gembira kerana Allah menjanjikan salah satu daripada dua kebaikan ( menang atau syahid ) . Demi Allah , saya seakan-akan dapat melihat tempat kematian mereka . .

Membaralah semangat tentera Islam dengan kata-kata pemimpin mereka . .

Rasulullah menempatkan pasukannya di kawasan berbukit dan menguasai semua punca air di situ . Pasukan memanah diletakkan di barisan hadapan sebanyak tiga barisan . Selepas menyusun pasukannya , Nabi Muhammad memeriksa barisan mereka . . Didapati terdapat seorang sahabat yang tidak berdiri lurus lalu Baginda memukul pada bahagian perutnya dengan busur panah sambil berkata , Luruskan barisan kamu , Sawad !
Tetapi reaksi Sawad membuatkan sahabat-sahabat lain berasa marah apabila dia menuntut qisas akan perbuatan Rasulullah . . Nabi pun menyelak jubahnya dan memperlihatkan perutnya . . Sebaik sahaja melihat perut Rasulullah , Sawad lantas memeluk dan menciumnya . .
Mengapa dengan kamu Sawad ? tanya Baginda .
Wahai Rasulullah , saya tidak mahu menyakitimu . Saya mahu kulit saya bersentuhan dengan kulitmu pada saat terakhir kehidupan saya , jawab Sawad sambil menangis kerana terharu . .

Berbalik kepada peristiwa Perang Badar . .

Pertembungan antara tentera Islam dan Tentera Quraisy akhirnya berlaku . Lalu Nabi berdoa dengan sepenuh hati dan pengharapan , mengangkatkan tangannya melebihi kepalanya seraya berdoa , Ya Allah , kurniakanlah kepada aku apa yang engkau janjikan . Ya Allah , sesungguhnya aku meminta pertolonganMu . Ya Allah sekiranya pasukan ini hancur tentu engkau tidak akan di sembah lagi .

Rasulullah mengulangkan doanya berulang-ulang kali .

Lalu Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad ,
Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu , lalu ia perkenankan permohonan kamu ( dengan menghantar ) seribu malaikat yang datang berterusan . (Surah Al-Anfal , ayat 9 )

Kemudian Allah mewahyukan kepada malaikat ,
TuhanMu mewahyukan kepada Malaikat , sesungguhnya aku menyertai kamu , maka tetapkanlah (hati) orang yang beriman . Aku akan mengisi hati orang-orang kafir dengan rasa gerun , oleh itu pancunglah leher mereka dan potonglah tiap-tiap anggota mereka ( ketika bertempur ) . ( Surah Al-Anfal , ayat 12 )

Selepas itu Nabi Muhammad memerintahkan tenteranya mara berhadapan musuh . Sudah menjadi tradisi orang arab sebelum berperang mereka mengadakan perlawanan antara satu lawan satu . .

Rasulullah pun berkata , Majulah ke hadapan wahai Ubaidah al-Harith , berdirilah wahai Hamzah bin Abdul Mutalib dan sambutlah cabaran mereka wahai Ali bin Abi Talib . .

Mereka menentang Uthbah bin Rabiah , Syaibah dan al-Walid 1 lawan 1 . .
Alhamdulillah , Ketiga-tiganya berjaya memenangi perlawanan mereka dengan gah sekali . . Lantas tentera islam bertasbih , takbir dan tahmid kepada Allah . .

Maka selepas itu berlakulah peperangan hebat antara kedua-dua pihak . Tentera Islam semakin bersemangat apabila Rasulullah turut berjuang bersama mereka .

Nabi Muhammad saw berkata , Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggaman TuhanNya , pada hari ini tiada seorang pun yang berperang dengan sabar , mengharapkan keredaan Allah dan terus maju tanpa mundur , melainkan Allah memasukkannya ke dalam syurga .

Salah seorang sahabat bertanya ;

Wahai Rasulullah , apa yang buat Tuhan bergembira melihat hambanya pada hari ini ? Tanya Auf bin Al- Harits .

Seseorang yang sanggup menggempur musuh dengan tangannya tanpa memakai baju besi , jawab Rasulullah .

Mendengar jawapan itu , Auf menggempur habis-habisan hingga akhirnya beliau mati syahid . . Pertempuran semakin sengit . Beberapa orang tentera Quraisy terbunuh tetapi masih ramai lagi yang datang . . Ketika itulah para Malaikat datang membantu tentera Islam . Mereka menjelma menyerupai manusia .

Dengan adanya bantuan daripada Malaikat , banyak perkara ajaib berlaku . Tentera Quraisy tiba-tiba terputus kepalanya tanpa ternampak sesiapa yang memenggalnya . .

Semasa berlakunya perang Badar itu iblis datang menyerupai Suraqah bin Malik dan membakar semangat tentera quraisy untuk bertempur sebelum bermulanya petempuran itu tetapi dia yang pertama sekali melarikan diri . Lantas Al-Harith bin al-Hisyam mengejar Suraqah dan memegang tangannya lalu bertanyakan kenapa dia melarikan diri . . Sesungguhnya pada saat ini aku melihat apa yang kamu tidak dapat lihat , kata iblis . .

Lembah Badar yang subur tanahnya itu terus disirami darah para syuhada yang gugur syahid dan darah tentera quraisy . Tempik sorak dan laungan takbir kedengaran silih berganti diiringi gemerencing mata pedang . Mereka yang tercedera mengerang kesakitan . Pasukan tentera quraisy makain tertekan . Walaupun jumlah mereka yang ramai namun tidak mampu menahan asakan orang islam . Tentera islam menyerang tanpa henti walaupun jumlah mereka lebih kecil tetapi mempunyai jiwa dan semangat kental .

Akhirnya , tentera Islam berjaya memenangi peperangan tersebut dengan kemenangan yang menggembirakan seluruh umat islam . .Berita kemenangan umat islam ini , menjadi titik tolak kepada penyebaran syiar islam . .

Setelah berakhirnya perang tersebut didapati seramai 14 orang Islam gugur syahid manakala di pihak Quraisy 70 terbunuh dan 70 lagi ditawan . .


Al-Hajj [40]……dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Sedikit info . .

Di afghanistan , ada tiga orang sahabat yang tidak sempat berpindah setelah diarahkan oleh tentera Rusia . . Sewaktu hendak berpindah mereka telah dikepung oleh tentera rusia yang dilengkapi oleh senjata . . Oleh kerana tiada lagi tempat untuk melarikan diri , mereka berazam untuk menentang tentera-tentera tersebut dan lantas melaungkan takbir Allahuakbar . . Tiba-tiba , tentera Rusia yang begitu ramai itu meletakkan senjata dan menyerah diri kepada mereka . . Lalu di tanyakan kepada tentera itu mengapa mereka melakukan itu , lalu mereka berkata kamu tidak dapat melihat apa yang kami lihat . . Kami lihat sejumlah besar manusia yang berpakaian putih mengelilingi kami sewaktu kamu bertakbir . . Lalu kami pun menyerah diri kerana banyaknya jumlah mereka . .
READ MORE- Perang Badar

26 August 2010

Lailatul Qadar

Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh

Hazrat Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi saw tentang Lailatulqadar . Lalu baginda bersabda , Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh yang akhir .Sesungguhnya Lailatulqadar berlaku pada malam-malam yang ganjil , pada malam ke 21, 23, 25, 27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan .Sesiapa yang bangun beribadat pada malam-malam itu dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran , semua dosanya yang terdahulu diampunkan . Antara tanda-tanda Lailatulqadar ialah keadaan tenang dengan langit yang bersih , tenang lagi sunyi , tidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk .Seolah-olah bulan sedang memancar ( kerana banyak Nur kerohanian ) . Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga pagi . Matahari akan akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat . Matahari terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama . Allah swt telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu ( sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit ).

Antaranya lagi , sahabat-sahabat Nabi mendapati pada malam itu air laut menjadi tawar dan kisah ini berlaku pada malam ke 27 . Para masyaik menulis bahawa pada malam Lailatulqadar semua benda akan bersujud seperti pokok-pokok rebah ke bumi kemudian akan bangun ke kedudukan asalnya kembali . Walau bagaimanapun , perkara-perkara seperti ini adalah berkaitan dengan kasyaf dan tidak dapat disedari oleh semua orang .




Adapun begitu , pernah Rasulullah memerintahkan untuk mencari Lailatulqadar pada malam-malam berlainan bersesuaian dengan ta
hun tersebut .

-Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Hurairah r.a. bahawa pada suatu ketika sedang dibincangkan tentang Lailatulqadar di dalam majlis Nabi saw lalu Baginda bertanya, Berapakah tarikh hari ini ? Diberitahu bahawa 22 haribulan . Baginda saw pu
n ber sabda , Carilah Lailatulqadar pada malam ini .

-Hazrat Abu Zar r.a. berkata , Saya telah bertanya kepada Nabi saw adakah Lailatulqadar khusus pada zaman Baginda sahaja atau akan berterusan selepas zaman itu juga ? Baginda menjawab , Lailatulqadar akan berterusan sehingga hari kiamat . Saya bertanya lagi pada bahagian manakah dari Ramadhan malam itu berlaku ? Baginda bersabda , carilah malam itu pada sepuluh awal dan sepuluh akhir . Kemudian Baginda telah sibuk dengan hal lain . Lalu saya bertanya lagi . Rasulullah saw menjadi begitu marah . Tidak pernah Baginda begitu marah terhadap saya sebelum dan selepas itu . Kemudian Baginda bersabda , Kalau itu tujuan Allah , mengapa tidak terus diberitahu sahaja ? Carilah malam itu pada 7 malam terakhir . Cukuplah ! Selepas itu jangan tanya apa-apa lagi kepada saya .

-Hazrat Ibnu Abbas r.an.huma berkata , Pada suatu malam saya sedang tidur , saya bermimpi seseorang berkata kepada saya , Bangunlah ! I
ni Lailatulqadar . Saya pun bangun dengan segera dan pergi melihat Nabi saw . Saya dapati Baginda tengah bersolat . Malam itu adalah malam ke 23 .

-Hazrat Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata , Sesiapa yang berjaga malam pada sepanjang tahun akan dapat menemui Lailatulqadar ( yakni Lailatulqadar beredar sepanjang tahun ) . Ada orang menyampaikan pendapat ini kepada Hazrat Ibnu Ka'ab r.a. lalu beliau pun berkata , Tujuan Ibnu Mas'ud adalah supaya orang ramai tidak berpada den
gan beribadat pada satu malam sahaja . Kemudian dia telah bersumpah dan memberitahu bahawa malam Lailatulqadar berlaku pada malam ke 27 .

-Imam Muhammad rah. dan Imam Abu Yusuf rah. pula menyatakan bahawa Lailatulqadar berlaku pada salah satu malam-malam Ramadhan seca
ra tetap tetapi tidak diketahui .

-Mazhab Syafie berpendapat bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke 21 .

-Kebanyakan ulama mengatakan bahawa malam Lailatulqadar lebih berkemungkinan berlaku pada malam ke 27 .

Walaubagaimanapun , sama ada
malam ke 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29 , setiap orang perlulah berusaha untuk mencari Lailatulqadar pada sepanjang Ramadhan sesuai dengan keupayaan dan kesungguhan masing-masing . Janganlah hanya beribadat pada malam-malam tertentu kerana sesungguhnya Allah swt menyukai kepada orang yang istiqomah di dalam perbuatannya walaupun sedikit .

Sedikit info . .

Menurut Hazrat Sufian Thauri rah. berkata bahawa pada malam itu adalah lebih baik untuk menyibukkan diri dengan berdoa berbanding dengan ibadat-ibadat lain . Ibnu Rejab rah. pula berkata bahawa tidaklah hanya berdoa , bahkan lebih afdal untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca al-Quran , solah , doa , meraqabah dan seumpamanya kerana semua itu diriwayatkan oleh Nabi saw .




Berdasarkan soalan yang diberikan oleh seorang hamba Allah di dalam chatbox . .
Semoga bermanfaat . .
Bersumber daripada Kitab Jilid Amal . .
READ MORE- Lailatul Qadar

22 August 2010

Tazkirah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh . .










Kali ini amalnyaimar.blogspot.com membawa kisah-kisah para sahabat ketika menjelangnya bulan Ramadhan . .

Dimana diceritakan betapa mereka memanfaatkan bulan Ramadhan dahi permulaan hingga ke penghujungkan dengan istiqomah dan semata-mata kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah swt. .

-Hazrat Uthman r.a. , setelah berpuasa sepanjang hari , akan menghabiskan malam dengan bersolat . Beliau hanya tidur sekejap pada bahagian permulaan daripada malam . Beliau akan mengkhatamkan Al-Quran di satu rakaat solatnya .
-Hazrat Sa'id bin Musayyab pula bersolat subuh dengan wuduk isyak selama lima puluh tahun . .
Dinukilkan tentang Hazrat Silah bin Ashyam rah. akan bersolat sepanjang malam dan apabila menjelang fajar , beliau akan berdoa , Tidaklah kau layak untuk berdoa meminta syurga , hanya sekadar inilah permintaanku supaya engKau menyelamatkan aku dari api neraka .
-Imam Syafie rah. mengkhatamkan 60 kali Al-Quran dalam solatnya sama ada pada waktu siang ataupun malam . .
-Berita imam Abu Hanifah rah. bersolat subuh dengan wuduk isyak selama 40 tahun begitu masyur sehingga penolakan kisah ini menyebabkan ketidak percayaan kepada sejarah . Beliau hanya tidur sekejap pada tengah hari kerana ia merupakan sunnah dan setiap kali beliau membaca Al-Quran beliau akan menangis begitu sekali sehingga jiran-jiran akan merasa kasihan terhadapnya . Pernah satu ketika beliau telah menghabiskan sepanjang malam dengan menangis sambila membaca ayat 46 surah al-Qamar :
Mafhumnya , (Bukan kekalahan itu sahaja ) bahkan pada hari kiamatlah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) . Dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dasyat dan amat pahit .

Betapa jauhnya jurang perbezaan kita dengan mereka dan memang patutlah mereka digelar hamba-hamba Allah yang tahu bersyukur . Nabi saw pernah bersabda bahawa Allah swt berfirman , Wahai anak Adam ! Lapangkanlah masamu untuk beribadat denganKu nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kekayaan dan Aku akan hapuskan kefakiranmu . Jika tidak, Aku akan penuhkan dadamu dengan pelbagai-bagai kesibukan dan kefakiranmu tidak akan hilang . Segala yang kita lihat pada masa kini adalah bukti yang tepat tentang terhadap kebenaran sabdaan ini . .


READ MORE- Tazkirah

21 August 2010

Tazkirah

Bersama saya lagi di dalam tazkirah Ramadhan . .

Kali ini amalnyaimar.blogspot.com membawa satu paradigma kepada kita akan beruntungnya kita kerana kita masih dapat berbuka puasa dalam keadaan yang aman , menikmati juadah enak dan pelbagai lagi rahmat yang dicurahkan oleh sang Pencipta . .














Kata-kata nukilan seorang hamba Allah di Palestin . . .
"Bagaimana kami dapat berpuasa di tengah-tengah suhu yang sangat panas dan terputusnya bekalan elektrik, salah satu daripada keduanya meringankan satu sama lain. Namun bila kedua-keduanya berlaku, Ya Allah ya Tuhan kami, tolonglah kami berpuasa di bulan mulia ini."
READ MORE- Tazkirah

Kelebihan Ramadhan


Hazrat Salman r.a berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Sya'aban :

Wahai manusia ! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati . Satu bulan yang dalam bulan itu terdapat satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik daripada seribu bulan . Satu bulan yang Allah swt telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardu dan berdiri pada malam hari (bertarawih) sebagai satu amalan sunat .Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardu pada bulan itu adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan lain .

Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga . Bulan itu adalah bulan simpati , bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman . Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka , maka pemberiannya itu merupakan satu pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya . Para sahabat lalu berkata , Bukankah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa . Maka Rasulullah saw bersabda, Allah memberikan pahala itu kepada sesiapa sahaja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka .

Bulan itu adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat , pada pertengahannya merupakan keampunan dan pada akhirnya merupakan kelepasan daripada neraka . Sesiapa yang meringankan bebanan hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah swt dan akan dilepaskan daripada azab api neraka .

Perbanyakkanlah pada bulan ini
empat perkara . Dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu perlukan . Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada tuhan selain daripada Allah (Lailahaillallah)dan kamu memohon istighfar daripadaNya . Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan ialah memohon syurga daripada Allah swt dan meminta perlindungan daripada api neraka .

Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah swt akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat) , dengan sekali minum , dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk kedalam syurga .

Bersumberkan dari buku Fadhilat Amal bab Fadhilat Ramadhan ms 2-3 . .



READ MORE- Kelebihan Ramadhan

20 August 2010

Tazkirah

Ramadhan Ya Ramadhan . . .

Tazkirah Ramadhan bersama
amalnyaimar.blogspot.com . . .

Imam Ghazali rah. telah menulis, bagaimana mungkin tujuan berpuasa iaitu untuk mengalahkan iblis dan mengawal nafsu syahwat itu dapat dicapai jikalau seseorang itu menggantikan apa-apa yang telah kehilangan sepanjang berpuasa sewaktu ia berbuka ?
Ini bermaksud kita melebih-lebihkan ketika berbuka sedangkan kita diajar oleh Rasulullah saw untuk bersederhana . Nabi pernah bersabda : Syaitan berjalan di dalam badan manusia seperti perjalanan darah, tutuplah jalan-jalannya dengan berlapar . Kesimpulannya , kebaikan seluruh anggota bergantung kepada nafsu yang dibiarkan berlapar. Apabila dibiarkan berlapar maka anggota akan baik manakala jika nafsu kenyang seluruh anggota akan rosak . . .
Bersumberkan Buku Fadhilat Amal, Bab 1 ,Fadhilat Ramadhan muka surat 43 .



Daripada Hazrat Abu Ubaidah r.a. beliau berkata saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda, Puasa adalah perisai, selama dia tidak memecahkannya .

Para masyaikh menulis enam perkara sebagai adab ketika berpuasa dan adab-adab ini amatlah perlu diambil berat oleh sesiapa yang berpuasa .

1. Menjaga penglihatan daripada memandang sesuatu yang tidak patut. Nabi bersabda ,Penglihatan adalah satu daripada anak panah syaitan .
2. Menjaga lidah daripada berbohong, mengumpat, bercakap sia-sia, bercakap kotor dan seumpamanya . Cukuplah dengan berkata , saya sedang berpuasa .
3. Menjaga telinga daripada perkara yang tidak patut. Nabi bersabda,
Kedua-dua orang yang megumpat dan yang mendengar umpatan terlibat dengan dosa .
4. Menjaga segala anggota badan yang lain daripada sesuatu yang tidak patut .
5. Jangan berlebihan ketika berbuka walaupun dari harta yang halal .
6. Perlu ada perasaan takut kepada Allah swt setelah menunaikan puasa kerana kita tidak tahu sama ada puasa kita itu diterima atau tidak .


Bersumberkan Buku Fadhilat Amal, Bab 1 ,Fadhilat Ramadhan .

Renung-renungkan dan sama-samalah kita meningkatkan amal kita di bulan yang diberkati ini . . .
Wasalam . . .
READ MORE- Tazkirah

19 August 2010

Kemeriahan Ramadhan



Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

Assalamualaikum wbt . .
Agak lama da blog ini disepikan . . .
Bersempena dgn bulan Ramadhan yang mulia ini , marilah kita bersama-sama menambahkan amal ibadah kita kerna sesungguhnya , Allah berfirman :


"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa." Al-Baqarah 183

Wahai sahabat-sahabatku, terdapat tiga kategori manusia yang terhasil daripada Madrasah Ramadhan

1- seseorang yang bertambah imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya
2- seseorang yang sama imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya
3- seseorang yang berkurang imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya

Agak-agaknya kita akan dimasukkan ke dalam kategori mana? Alangkah berbahagianya andai kita termasuk di dalam kategori pertama. Marilah kita koreksi diri, muhasabah setiap amalan kita supaya ianya membantu mempertingkatkan ibadah pada bulan Ramadhan yang bakal kita lalui nanti. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai wadah untuk kita tingkatkan amalan agar ia akan menjadi Ramadhan yang terbaik pernah kita lalui, insyaAllah.




Video diatas melihatkan kepada kita akan telatah anak2 kecil ketika melakukan solat sunat witir pada bulan ramadhan . . .
Mungkin ada antara mereka belum memahami apa sebenarnya tujuan perlakuan itu ,dan ada juga di antara mereka mungkin tidak mengetahui cara2 solat yang sebenar . . .
Tetapi sekurang2nya mereka masih mendatangi masjid dengan semangat yang membara untuk beribadah . . .
Bagaimana pula dengan kita ?
Adakah kita tergolong didalam golongan2 yang memeriahkan malam Ramadhan ?
Sama2lah kita renungkan . . .
Kerna hanya nafsu yang membataskan kita di bulan ramadhan . . .



“Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”.
READ MORE- Kemeriahan Ramadhan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...